Monday, October 1, 2018

KISAH DAN PERJALANAN


Dari dapur masak ( dulu dulu situlah tempat masak, situlah tempat basuh pinggan, situlah tempat basuh sayur dan ikan ) saya curi curi dengar perbualan emak dan ayah

.

Emak engkau, tidak payahlah masuk pertandingan gubahan tu. Bukan ada duit nak buat modal beli barang. Ayah cakap dengan emak sambil minum kopi cicah biskut kering

.
Alah ayah engkau ni. Guna apa yang ada depan mata dan dalam rumah ni aje. Tidak keluar mang satu sen pun modal. Minta izin ayah engkau aje ni. Lama emak resah tunggu ayah bagi jawapan 
.
Ye lahhhh. Masuklah pertandingan gubahan tu. Dengus ayah sambil bangun betulkan kain pelikat yang sudah longgar dipinggang dan berlalu ke bilik. Saya tengok emak senyum meleret apa yang dicita dapat 
.
Emak mula buat persediaan. Masuk pertandingan mesti nak menang. Tiada istilah masuk suka suka. Kalau nak masuk suka suka mak kata, masuk pertandingan menari atau menyanyi. Selain dari itu mesti mahu menang
.
Saya akan bantu emak buat apa yang patut. Sediakan barang barang sebagaimana yang emak sudah tulis. Emak bersengkang mata buat latihan mengubah. Kadang kadang dari tuala. Kadang kadang sireh junjung. Kadang kadang gubahan bunga
.
Jika emak bertanding saya akan duduk rumah jaga adik adik. Emak akan balik bawa hadiah hasil kemenangan. Kadang kadang pasu bunga air hitam. Kadang kadang tipuware. Kadang kadang kain pasang. Apapun hadiahnya, emak tetap happy. Janji menang kata dia
.
Hari ini mengimbau kenangan silam. Dua hari lepas telepon emak. Long, mak ada story ni. Ecewah mak ni bukan main lagi. Story apa emak? Saya bertanya sambil ketawa. Emak demam beberapa hari. Cik Nah ketua blok minta tolong. Masuk pertandingan gubahan tuala. Short notis. Emak dah tolak, tapi kesian orang merayu long wakil blok. Dalam deman demam mak gagah cari towel Felda D'Saji dalam almari engkau ( dalam bilik saya di kampung). Jumpa warna putih, besar. Sedang elok le tu. Mak guna bekas hantaran adik hakim jadi tapak dia Long
.
Emak mikir nak buat apa? Ooo Dsaji ni berkait rapat dengan bahan masak. Mak teringat nak buat bawang putih. Mak pun buat le. Engkau tahu apa resultnya. Saya tanya no. berapa emak dapat kali ini? Ni Habsah lah Long, No. 2 dari 54 peserta. Oooo hebat emak. Tahniah saya cakap. Kalau tak demam no. 1 tu. Emak tergelak suka hati bukan kepalang lagi. Hadiah ambik hari isnin Long, malam di balairaya. Saya pesan pakai baju cantik cantik mak nak ambik hadiah. Ye le tahuuu kata emak
.
Saya Wasap NorNadiah Haji Ismail anak jati Felda Kahang Barat yang menawarkan khidmat penghantaran bunga, cake dan lain lain lagi. Saya minta sediakan bunga dan belon. Tulis Mak Memang Hebat . Serah waktu mak ambil hadiah. Surprise untuk mak dari kami anak anak emak yang jauh ni
.
Puan Nadiah wasap, Longgg emak bukan dapat No. 2 Long. Masa baca mesej ni. Dalam hati saya kata kalau mak tak dapat no. Apa apa pun takpe. Saya dah kirim mak hadiah bunga dan belon. Tapi kesianlah, sebab diorang kata emak no. 2. Nadiah sambung wasap, Mak dapat Juara.... Ketar tangan saya sekejap. Laaaa Mak memang hebat
.
Tahniah emak, Habsah Binti Mohamed. Telah dinobatkan juara pertandingan lipatan dan gubahan sempena Karnival Usahawan Felda Wilayah Selatan. Emak juara pertandingan yang disertai oleh 54 peserta
.
Emak memang hebat. Kami tumpang bangga

1. Emak yang mengulang mengaji sudah tamat Muqaddam. Emak khabarkan berita gembira itu pada jumaat petang. Seronok emak bercerita pengalaman mengulang Muqaddam. Tujuannya mengulang baca untuk ingat semula semua tartib dan tartil membaca Al Quran
2. Saya hubungi NorNadiah Haji Ismail seorang anak muda yang menjalankan bisnes delivery untuk pelbagai acara. Mudah berbincang dengan yang sudah biasa. Faham apa yang client mahukan. Bertimbang rasa pula. Ini contoh anak Felda yang misi. Insyaallah cerah masa depan
3. Teringat adat dulu dulu. Bila saya naik Quran emak buatkan pulut kuning dan bunga telur 2 pahar. Dibawa ke rumah guru ngaji. Ada acara kecil. Pulut kuning diambil sedikit guru ngaji. Di kepal kepal bulat 3 biji kecil. Guru ngaji minta saya baca selawat. Niat mahu belajar Quran, lancar lidah dan terang hati. Telah pulut kuning yang di kepal tadi. Seronok dirai bersama rakan rakan ngaji
4. Kali ini giliran emak dirai. Saya kirimkan pulut kuning diiring sambal tumis. Ucapan tahniah buat emak yang gigih mengaji hingga cepat naik Quran. Alhamdulillah
5. Telepon emak selepas zohor tadi. Terharu dia terima pulut kuning. Nanti dia bawa ke kelas ngaji. Boleh makan bersama kawan kawan kata dia. Saya tanya, apa perasaan emak masa tengok pulut itu? Mak terharu Long. Susah susah raikan emak. Saya cakap, begitulah saya dulu. Rasa terharu sangat emak raikan. Dalam susah kita sekeluarga nak makan, emak buat pulut tanda kak long naik Quran
6. Saya beritahu Emak, ada 3 permintaan pada Allah yang Maha Baik dalam setiap doa saya. Yang pertama saya mahu basuh dua kaki emak sebagaimana Hajar membasuh dua kaki Nabi Ibrahim. Yang kedua mahu pimpin emak kerjakan Tawaf, Saei dan melontar bersama sama. Yang ketiga, Long mahu khatam quran bersama sama emak di Makkah dan Madinah tahun depan pada Umrah Ramadan. Insyaallah. Allah yang maha pengasih pasti memakbulkan doa hambanya yang meminta dengan sepenuh hati. Aamiin Aamiin Aamiin Ya Rabbal Al'Aamiin
7. “Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah pada orang tua dan sambunglah tali silaturahim (dengan kerabat).” (HR. Ahmad)

Long, belajar pandai pandai. Jadi macam pak andak. Boleh Pergi Australia. Berulang ulang nama keramat itu disebut tanpa jemu oleh emak. Menjadi kata kata keramat.
Tarikh Puasa belum umum lagi, emak sudah mula mengarah itu ini. Long, jemur tepung, ayak masuk bekas. Kacang mesti goreng. Aoi kecik, sangai garing. Esok kumpul sabut, tempurung dan kayu. Aku buat tanpa bantah. Jangan ditanya untuk apa. Emak sendiri akan cerita. Kita buat rempeyek, tumpi. Dapat empat tin biskut jadi le. 2 untuk kita, 2 bawak balik kampung atuk. Pak andak kau suka tu. Untuk Menyiapkan semua tu, garing dua tangan kecil aku ni menggoreng bawah bangsal tepi rumah. Takpelah asalkan emak gembira
Long, pak andak engkau nak datang. Dia baru balik dari Australia. Kemas rumah. Tukar langsir. Basuh lantai. Rumah felda satu bilik, sedia menerima kunjungan pak andak. Datang dengan menaiki Mercedes hijau. Satu felda gempar, liza ada pakcik kaya. Lama pak andak tidak berjumpa emak dan kami semua. Sebaik pak andak jejak kaki depan rumah emak tanah merah berselut. Pak andak menangis, biahhhh susah hidup kau biah duduk felda. Petang itu juga pak andak belikan emak kerusi kayu dan meja tulis untuk aku. Waktu mahu pulang, Kami lambai pakandak dan makandak Tila Abasyang cantik orang bandar JB. Jangan serik andak, datanglah lagi pesan emak bersulam air mata
Waktu sudah sampai jodoh lewat 30an, aku bertemu pak andak. Memohon restu seorang pak cik yang sangat dihormati. Usai cincin tunang tersarung di jari, aku, emak serta bakal suami dirai di kedai tomyam kegemarannya di Greenwood
Pak andak, anak felda contoh. Mendapat pendidikan di Sekolah Tinggi Muar. Namanya tercatat di dinding sekolah sebagai pelajar terbaik STM. Dia kebanggaan keluarga. Pernah menghasilkan buku ilmiah dan menjadi rujukan. Balik dari Australia, pak andak bertugas di Genting Highland. Masa kecil lagi sudah puas aku duduk genting masa cuti sekolah. Sifatnya yang pendiam buat kami kecut perut. Bila meningkat dewasa, aku mula bekerjaya. Sering kami bertemu dan berbual. Seronok bersembang berdua ditemani mak andak. Aktiviti kebun selalu menjadi topik utama
Memang terlalu banyak kenangan bersama. Tidak mampu ditulis satu persatu. Ia terakam indah dalam memori hidup
Semalam dalam sibuk bertugas. aku dipilih oleh Allah SWT, bersama mak andak, kak Ila dan abang kamarul untuk bersama pak andak dihujung hayatnya. Sewaktu doktor menutur satu persatu berita mengesahkan pak andak telah tiada, hanya alfatihah dan air mata yang mengalir. Ku peluk mak andak.... Redhalah, Insan baik tinggi budi ini insyaallah dihimpunkan di Syurga bersama orang beriman kekasih Allah SWT. Allah SWT lebih menyayanginya. Bersemadilah dengan tenang wahai Pak Andak Hamzah Mohamed yang iza kasihi. Bertemu ilahi pada umur 70 tahun.
Terima kasih kepada semua sepupu yang hadir dari jauh dan dekat bersama sama memberi penghormatan terakhir sehingga selesai majlis. Terima kasih juga atas ucapan takziah dan doa semua sahabat mukabuku. Mudah sehabis mudan urusan mengurus jenazah tadi. Alhamdulillah
**Gambar kenangan di hari majlis resepsi anakanda bungsu pak andak Zain Azrai Dan Tina Anthony di Restoran Dsaji KL Titiwangsa

KEMBARA SOLO BONDA DI BUMI AMBIYA'
.
Ini umrah solo kedua emak. Berbagai cerita emak kongsikan. Pakej berbeza bukan halangan. Untuk emak lalui setiap ujian. Di Bumi Haram 
.
Emak kata dengan saya. Sesuai dengan nama pakejnya. Pakej Redha. Emak Redha, Syukur, Bahagia dan Sangat Gembira
.
Emak kata sepanjang dia mahu ke Tanah Suci. Hatinya sangat rindu kepada arwah ayah dan semua adik beradiknya yang telah pergi
.
Allah SWT susun keluarga emak disana sangat indah. Tidak sengaja kata emak. Keluarga umrah emak lengkap. Ada Mak Long, Ada Pak Andak dan ada pak cik. Ada seorang lelaki tua bernama Noh. Sama dengan nama dan karektor arwah ayah. Subhanallah...
.
Mereka semua orang johor. Mereka semua kata emak serupa dengan wajah ayah dan adik beradiknya yang telah pergi lebih awal bertemu ilahi
.
Emak kata, setiap hari memandang wajah mereka. Berbual ketawa bersama mereka. Rindu emak yang panjang terubat sudah. Alhamdulillah
.
Terima kasih Allah. Tiada nikmat selain umrah kali kedua dengan Pakej Redha ini Long. Terima kasih kata emak. Masyaallah
.
Saya dan emak bergambar dengan semua rakan sebilik emak. Mak long,Mak Chik, Mak Andak. Isteri kepada pak Long, Pak Chik, Pak Andak










No comments:

Post a Comment