Insyaallah emak bakal tetamu Allah yang paling istimewa. Emak akan berangkat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah pada 11.04.2018. Emak pergi seorang diri. Sama seperti tahun tahun sebelum ini
.
Sewaktu pergi ke klinik untuk ambil injection. Doktor yang saya sudah lama kenal. Hampir 20 tahun. Memberikan emak suntikan umrah tanpa kenakan sebarang bayaran. Masyaallah. Saya masuk semula ke kamar doktor. Emak salam beliau. Dan menangis. Emak kata, doktor saya doakan doktor diberi kaya dunia akhirat. Doktor wanita yang memang baik dengan saya itu memeluk emak. Beliau berkata. Dia sedeqah kerana Allah SWT
.
Selepas ambil suntikan umrah. Saya bawa emak beli kasut baru untuk umrah. Emak kata tak payahlah. Guna kasut yang ada saja. Saya cakap, emak perjalanan beribu batu ini. Menjadi tetamu Allah paling istimewa. Biarlah semua yang baru baru saja. Emak akur. Setelah memilih yang berkenan di hati bonda. Saya ke kaunter juruwang. Perempuan muda itu tersenyum. Beliau bertanya. Emak akak ke? Saya jawab ya puan. Nak pergi umrah ke, tadi saya dengar akak berbual ladang unta dan ladang kurma nak pakai kasut ini. Ya saya jawab. Beliau berkata, saya bagi 50% ya kak. Ini harga saya sebagai staff disini. Saya ucap terima kasih. Beliau salam tangan emak dan peluk lalu menangis. Dia seorang anak yang tiada ibu lagi. Emak kata, awak akan jumpa ibu awak di syurga nanti
.
Selepas beli kasut baru. Saya bawa emak beli sejadah kecil. Yang ada banyak dirumah puas dicari tidak jumpa. Rupanya abang Lan sudah hantar ke surau. Sewaktu emak ambil sehelai. Tauke kedai karpet tanya. Mahu buat apa ini sejadah kecil. Saya jawab mahu bawa umrah. Bila mahu pergi bonda? Emak jawab 11.04.2018, 7.30 malam. Dia angkat tangan, baca doa buat emak. Saat mahu membayar. Tauke karpet jawab, sadaqah buat bonda. Moga Allah beri umrah mabrur. Emak nangis, emak kata saya doa bisnes awak maju. Dia jawab, aku sudah tiada bonda. Aku tiada bapa. Aku tidak sempat kongsi nikmat bahagia bersama kedua orang tua
.
Selepas dapat sejadah kecil. Saya tanya emak. Mahu makan apa? Emak kata nasi goreng sedap juga. Saya bawa emak ke medan selera. Saya order nasi goreng kampung dan teh O untuk emak. Saya macam biasa tengok saja. Berbual sambil tengok emak makan. Waktu ingin membayar. Tauke kedai tanya. Emak ke? Ya emak saya, jawab saya. Tak sama warna. Saya tanya, warna apa puan? Dia jawab, warna kulitnya. Dia tergelak. Dik, hari ini ramai anak anak bawa emak makan. Seronok saya tengok. Adik pun sedondon dengan emak pakai tudung. Cantik. Saya tengok tudung saya. Hihihi dari tadi tak perasan tudung sama. Takpelah, akak belanja lah nasi dan air tu. RM7.00 saja kata dia. Emak kata Alhamdulillah. Terima kasih
.
Emak cakap dengan tauke kedai makan. Tadi awak kata saya tak sama kulit dengan dia kan? Tauke kedai berubah muka. Minta maaf dengan emak. Emak kata takpe. Mak sambung kata kata. Emak cakap, sudah ramai orang cakap begitu. Saya tidak ambik hati. Walaupun saya hitam, tak cantik paras rupa. Anak saya ini yang selalu dipuji orang tidak malu dengan saya. Di usung saya ke sana ke mari. Dia tidak pernah rasa rendah diri ada ibu kulit hitam seperti saya. Saya yang malu dengan dia. Saya dibawa kenal kawan kawannya
.
Tauke kedai kesat air mata dipipi. Mohon maaf makcik. Emak kata, saya takde apa apa. Saya cuma nak kongsi. Anak saya sentiasa muliakan saya. Moga dia dimuliakan Allah dunia akhirat
.
Saya hambakan diri buat emak. Kerana "Emak adalah yang terhebat di dunia, sebab ia melahirkan kehidupan dan memberi nyawa pada kata cinta."
No comments:
Post a Comment